Tuesday, March 27, 2012

Wasatiyyah BN dengan kemewahan melampau

PERTAMANYA sekali saya mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang kepada saya untuk menyertai perbahasan Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang merupakan ucapan dasar kerajaan.
Walaupun demikian, kita perlu berpijak di medan rakyat dan medan kenyataan. Bukan hanya membaca di atas kertas dan di atas meja sahaja kerana perbincangan kita bukan sekadar di sini.

Perbahasan di sini akan turun pelaksanaannya kepada rakyat yang dikendalikan oleh kakitangan kerajaan yang merupakan satu-satunya jentera kerajaan yang terpenting. Menjadi kerajaan satu amanah

Perlu disedari dan difahami bahawa tanggungjawab menjadi kerajaan adalah satu amanah. Diberi peluang menjadi kerajaan bukan bermakna peluang untuk mendapat apa sahaja dan melakukan apa sahaja.
Sekiranya kita memperkecilkan amanah ini, maka berlakulah kecelaruan dan berlakulah khianat dan berlakulah penyelewengan.
Saya merasa bimbang dan ikut merasa bimbang apabila mantan Perdana Menteri, Yang Berbahagia Tun Mahathir Mohamad membuat kenyataannya berkali-kali bahawa parti yang memerintah ia berjangkit oleh penyakit politik wang dalam pemilihannya. Bermula daripada ketua bahagian sehingga Majlis tertinggi.
Sehingga kini belum lagi ada tindakan-tindakan pembetulan ataupun rawatan yang menunjukkan pemulihannya.
Demokrasi adalah mahkamah rakyat. Rakyat membuat hisbah terhadap pemimpin dan parti kerajaan yang memerintah.
Apa yang berlaku pada hari ini menunjukkan bahawa perjalanan pilihan raya masih tidak konsisten, masih tidak istiqamah dan tidak betul mengikut amalan demokrasi yang bermoral.
Bukan sahaja pengundipengundi tidak boleh membuat hukumat dengan betul, dengan penilaian yang sebenarnya kerana media yang bercelaru, amalan rasuah, ugutan dan penindasan dan berbagai-bagai perkara berlaku. Pemimpin parti yang memerintah hanya bersedia untuk menang, tidak bersedia untuk kalah.
Sekiranya kita menganggap ini adalah amanah, maka kita mesti bersedia bukan sahaja untuk menang tetapi juga bersedia untuk kalah, untuk dihukum oleh rakyat.
Kita melihat dalam negara demokrasi barat yang tidak beragama Islam, mereka banyak mengambil adab-adab Islam dalam pemerintahan mereka setelah mereka mengkaji penulisan ulama-ulama Islam.
Di antaranya ialah pemimpinpemimpin kerajaan bersedia untuk menerima kekalahan, dihukum oleh rakyat melalui pilihan raya.
Dalam negara kita kadangkadang sikap ini tidak ada.
Bila rakyat di peringkat negeri sahaja memilih bukan parti Kerajaan Pusat, maka rakyat negeri dihukum, rakyat negeri diperlakukan. Hilang semangat federalisme yang merupakan konsep Demokrasi yang kita amalkan dalam negara ini.
Bertolak daripada bagaimana terdapat tokohtokoh pemimpin politik yang berjiwa besar di banyak negara, yang sanggup menerima hukuman rakyat kalah pilihan raya, ataupun diturunkan pangkat, jawatan dan seumpamanya. Hal-hal yang seperti ini tidak wujud di tempat kita kerana kita mahu menang dengan apa cara sekalipun. Bahkan demokrasi wujud dalam Parlimen. Bukan sahaja kebebasan diberi kepada pembangkang untuk mengkritik kerajaan, termasuk ‘backbencher’ kerajaan sendiri dibenarkan untuk mengkritik kerajaan dan membangkang.
Ada Parlimen yang boleh menjatuhkan kerajaan apabila terdapat di kalangan penyokongpenyokong kerajaan sendiri tidak memberi kepercayaan kepada kepimpinan kerajaan.
Mereka tidak diambil tindakan disiplin bahkan ketua kerajaan berundur dan dipilih kerajaan baru daripada parti yang sama.
Ini menunjukkan bagaimana jiwa besar yang berlaku yang patut menjadi contoh dan kebijaksanaan yang pernah diucap oleh Nabi s.a.w.
“Kebijaksanaan adalah barang tercicir kepunyaan setiap orang yang beriman. Di mana sahaja berjumpa dia mesti memungut dan mengambilnya walaupun daripada kalangan bukan Islam dari negara yang lain.”
Kita patut mengambil iktibar bagaimana pilihan raya dilakukan pembaikan di negara-negara yang telah lama mengamalkan Demokrasi Berparlimen. Di England, di Amerika Syarikat, di India dan di negara jiran kita sendiri Filipina, Indonesia dan Thailand, membuat perubahan ke arah yang lebih baik untuk memberi hak kepada rakyat supaya menjadi hakim yang adil.
Media jangan berat sebelah
Bukan untuk menjamin satu parti memerintah sampai bila-bila masa. Masih banyak kelemahan dalam amalan pilihan raya kita. Perubahan tidak boleh berlaku, hanya dakwat, celup jari sahaja.
Banyak lagi hal-hal yang lain yang perlu diubah.
Pengundi-pengundi yang ragu, senarai nama yang tidak ada dalam kampung, orang yang tidak dikenali sampai jumlah ratusan ada dibuat.
Undi pos yang masih belum terjamin keamanahannya dari segi amalan demokrasi termasuk juga kebebasan media.
Media diberi hak sepatutnya kepada semua parti politik.
Media kerajaan sendiri jangan digunakan oleh parti yang memerintah.
Begitu juga kebebasan media diberi kepada parti-parti yang dibenarkan oleh kerajaan. Bila parti itu dibenarkan, diizinkan bertanding di pilihan raya sepatutnya hak media juga diberi, supaya mereka dapat mengemukakan hujah-hujah mereka kepada rakyat.
Hari ini (Kelantan) tidak diberi hak royalti petroleum.
Terengganu pernah dirampas ketika berada di bawah parti bukan Kerajaan Pusat.
Sepatutnya kita mengamalkan konsep federalisme dengan seadil-adilnya.
Menghormati keputusan rakyat di peringkat kerajaan negeri dan campur tangan berlaku dalam urusan pentadbiran. Ditubuhkan JPP (Jabatan Persekutuan) untuk mengendalikan urusan yang sepatutnya di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Bila kerajaan negeri diperintah oleh parti lain sepatutnya hak-hak diberi urusan kampung pun di campur tangan sama. Di samping ada ketua kampung yang dilantik oleh kerajaan negeri, Kerajaan Pusat juga melantik ketua kampung dia sendiri JKK.
Harta rakyat bukan harta parti politik
Harta negara bukan harta parti yang memerintah, bukan harta Barisan Nasional, bukan harta Pakatan Rakyat, bukan harta PAS, bukan harta Umno, bukan harta DAP, KeADILan, MCA. Ini harta rakyat. Parti yang memerintah adalah pemegang amanah.
Siapa yang jadi kerajaan dialah yang mengendalikan harta rakyat itu. Kita perlu menyedari siapa yang jadi kerajaan mesti ada pembangunan. Jangan kita nafikan bila negeri diperintah oleh parti yang tidak ada pembangunan langsung.
Seolah-olah Kelantan diperintah oleh Kerajaan PAS sejak tahun 1990 rakyat tidak ada jalan raya, merangkak dan meraba, tidak ada elektrik, tidak ada langsung.
Ini satu pandangan yang membodohkan diri kita sendiri.
Negara komunis pun ada pembangunan dia. Negara Israel ada pembangunan dia.
Saya baru balik dari Austria lawatan ke Vienna. Saya dapati di Austria tiap-tiap kampung ada hospital, ada bank, ada kemudahan transport.
Seorang tokoh Islam yang terkemuka di dalam ilmu politik, Ibnu Khaldun pernah menyatakan campur tangan kerajaan ikut sama dalam perdagangan membawa keburukan kepada negara.
Pandangan yang ditulis lebih 1,000 tahun yang lalu menjadi kenyataan apabila kerajaan terlibat di dalam urusan ekonomi rakyat, maka berlakulah kronomisme, nepotisme, rasuah.
Berlakulah projek-projek yang gagal, ini projek kerajaan, kita cuai pun tidak apa. Gagal, lebuh raya yang lambat siap, Lebuhraya Timur-Barat sebagai contoh. Sudah berapa tahun belum siap lagi, di luar daripada jangkaan.
Wasatiyyah, di mana letaknya?
Di mana kita hendak meletakkan al-wasatiyyah yang kita ucapkan untuk menjadi model kepada orang lain.
Termasuklah di dalam masalah ketinggalan, negeri-negeri yang di bawah Persekutuan seperti Sabah, Sarawak, negeri-negeri Pantai Timur dibelakangkan.
Padahal negeri-negeri ini mempunyai hasil bumi yang terlalu banyak tetapi rakyatnya menjadi paling miskin. Ini menunjukkan ada kesilapan, ada salah urus yang perlu kita kaji, perlu diperbetulkan, dilakukan islah. Puncanya apabila projek-projek penting untuk kemudahan rakyat dibelakangkan.
Projek yang mendatangkan keuntungan kepada kalangan yang tertentu diutamakan, termasuklah kewangan yang berkait rapat dengan zakat sebagai contoh. Sepatutnya yang mengendalikan urusan zakat ini, mengendalikan urusan bagaimana zakat itu sampai kepada sasaran.
Bagaimana zakat boleh menyelesaikan masalah kemiskinan. Bukan wang zakat dilaburkan untuk mendapatkan keuntungan sebanyak-banyaknya dan tidak turun kepada sasaran. Apabila zakat dijadikan modal untuk perlumbaan, persaingan dalam perniagaan, bukan menunaikan tanggungjawab, maka berlakulah berbagai kelemahan, penyelewengan.
Termasuklah duit KWSP, Tabung Haji dan sebagainya disonglap, diambil di tengah jalan.
Ini ialah kerana kerajaan menganggap menjadi pemimpin adalah peluang, bukan untuk menunaikan amanah. Termasuk Tabung Haji sebagai contoh.
Tabung Haji pada awalnya ditubuhkan berdasarkan untuk berkhidmat kepada bakal-bakal haji tetapi menjadi perniagaan, menjadi perdagangan. Khidmat kepada bakal haji tidak banyak, peratusnya terlalu sedikit dan lebih besar kepada untuk mengaut keuntungan.
Saya pernah mengalami sendiri ketika menunaikan satu ibadat haji di dalam satu musim haji. Apabila saya turun, ada petugas daripada Tabung Haji menanyakan saya, “Daripada Tabung Hajikah?”
Saya mengatakan, “Tidak, saya datang sendiri.” “Tidak boleh, kami untuk tolong orang Tabung Haji sahaja.” Pernah saya bawa seorang pesakit untuk meminta rawatan. Dia tanya, “Pesakit ini daripada Tabung Hajikah?” “Bukan, daripada swasta.” Dia kata, “Tidak boleh.” Saya terpaksa pergi kepada rombongan perubatan Negara Thailand. Sepatutnya di atas kemanusiaan, kita mesti menunaikan tanggungjawab.
Pelarasan gaji, tumpukan kepada gaji minimum
Sepatutnya pelarasan gaji ini kita tumpukan kepada gaji minimum seberapa mungkin.
Gaji yang serendah-rendahnya untuk mampu sara hidup. Itu yang perlu diutamakan, bukan dinaikkan gaji dengan tidak mengira mereka yang bawahan ini. Ada yang naik sampai RM50,000, RM80,000 dan ada yang naik RM8.00 sahaja. Naik RM8.00, harga barang naik RM10.00. Ini satu cara yang tidak bertanggungjawab.
Saya merasakan mereka yang buat ini yang tidak ada hati perut walaupun dibuatkan pembetulan. Pembetulan ini kerana pilihan raya sudah hampir, kalau pilihan raya tidak hampir kita tidak tahulah apa jadinya, wallahualam.
Saya tertarik dengan debat di antara Setiausaha Agung DAP dan Presiden MCA. Presiden MCA dalam kenyataannya mengatakan bahawa MCA telah berjaya menundukkan Umno.
MCA berjaya menundukkan Umno. Dia hendak hentam seolah-olah DAP tidak berjaya menundukkan PAS. Bukan masalah menundukkan PAS, kita tidak tunduk dalam perkara dasar dan prinsip. Dalam masa yang sama, kita tidak memaksa DAP dalam program berkaitan agama dia.
Dalam masalah hukum
Hudud sebagai contoh, kita tidak berganjak. Ini hukum Allah Taala, peraturan Allah Taala. Hukum qisas yang wajib ditegakkan oleh orang Islam. Masalahnya dia tidak mahu menerima, itu hal dia.
Kita tidak boleh memaksa dia dalam perkara ini. Al-Quran sendiri memberikan pilihan: “Jika sekiranya mereka datang membawa kes jenayah kepada kamu, maka kamu boleh menghukum mereka ataupun kamu biarkan mereka dengan undang-undang yang mereka pilih”.
Ini makna al-wasatiyyah yang kita tegakkan. Kita tidak sama dengan Umno yang tidak konsisten dalam perkara ini.
Contohnya, kita kata arak, judi haram. DAP kata arak dan judi halal. Umno kata kalau ada lesen halal, tidak ada lesen baru haram. Ini tidak istiqomah.
Ini bukan makna al-wasatiyyah.
Ini tidak tepat, sehingga kita telah memimpin negara sejak 50 tahun lebih, negara kita mempunyai pusat perjudian yang terbesar di Asia Tenggara.
Kononnya untuk menarik pelancongan. Kita perlu menyedari bahawa walaupun ia ada hasil untuk menarik pelancongan tetapi kesankesan negatif, bayarannya lebih besar daripada itu, termasuk al-wasatiyyah itu adalah adil terhadap semua manusia.
Pemisahana kuasa
Islam menganjurkan pemisahan kuasa di antara pihak perundangan, pihak kehakiman dan pihak pelaksana, pentadbiran. Tidak boleh campur antara satu sama lain. Boleh menasihati urusan perjalanan kehakiman. Tidak boleh dicampur sehingga Nabi kita, Muhammad s.a.w. dalam menghadapi krisis dengan seorang rakyat biasa, baginda tidak bertindak di atas sifatnya sebagai seorang Nabi, sebagai seorang ketua negara, baginda bawa ke mahkamah. Apabila mahkamah buat keputusan, baginda terima keputusan mahkamah. Maknanya pemisahan kuasa mesti wujud dalam konsep keadilan. Jawatankuasa Pemandu PAS, apa fungsinya?
PAS sendiri mengadakan Jawatankuasa Pemandu dalam melibatkan kerajaan negeri yang PAS ada kuasa. Jawatankuasa Pemandu ini bukan hendak campur tangan urusan kerajaan negeri. Ini berlaku sejak tahun 1959. Kami pernah memerintah Kelantan, memerintah Terengganu. Kami pernah menyertai kerajaan pusat BN, tahun 1970-an sehingga tahun 1978. Jawatankuasa Pemandu ini ada untuk memandu pimpinan PAS dalam parti. Kalau ada pemimpin parti yang buat salah, kita pecat daripada parti. Kita bertindak sebegitu. Pernah berlaku dalam sejarah Parlimen ini, apabila ada seorang Ahli Parlimen PAS dalam tahun 1969, dia naik menari di atas sana.
(Menunjukkan isyarat tangan) Semasa itu ada majlis tari-menari. Keesokannya, Jawatankuasa PAS mengambil tindakan pecat dia daripada parti. Disiplin. Ini Jawatankuasa Pemandu. Bukan hendak campur tangan tetapi hendak menjadi hisbah, investment terhadap negeri-negeri yang kita perintah supaya ada peranan parti dalam kerajaan yang kita memerintah ini.
Dasar Pakatan Rakyat
Kita cuba hendak menunjukkan satu cara baru kerajaan yang konsep baru dalam Pakatan Rakyat melalui Konvensyen Pakatan Rakyat yang kita adakan tiga kali, di Selangor, di Pulau Pinang, di Kedah. Kita telah menerima resolusi secara sebulat suara.
Pertama, Islam sebagai agama Persekutuan. Agama lain ada hak yang adil; kedua, hak bumiputera. Hak kaum lain dilayan dengan adil; ketiga, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan; Keempat, Raja Berperlembagaan. Konsep yang ada dalam perlembagaan, sama sahaja.
Cumanya Barisan Nasional tidak menunaikannya dengan betul. Kita ambil, kita hendak menunaikannya dengan betul.
Islam sebagai agama Persekutuan. Kita hendak perkasakan Islam sebagai ad-Din bukan sebagai religion yang difahami oleh Barat dengan kita tidak paksa penganutpenganut agama lain.
Kedua, hak Bumiputera. Kita menyedari bahawa majoriti rakyat miskin adalah bumiputera. Maka, disebut hak istimewa Bumiputera kerana menyedari majoritinya adalah Bumiputera. Dalam hal yang sama, zalim sekiranya kita tidak membantu kaum lain yang miskin, yang susah, yang memerlukan pertolongan dan bantuan. Dalam keadaan keadilan, tidak terjejas. Cumanya diutamakan kerana majoriti mereka besar.
Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kita mahu perkasakan bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan, kita tidak mahu bahasa Melayu menjadi bahasa yang dipinggirkan sampai ke peringkat iklan di kedai-kedai, di toko-toko di Kuala Lumpur ini, bahasa kebangsaan sudah menjadi kecil.
Bahasa kebangsaan diiktiraf sebagai bahasa rasmi, Raja mengikut Perlembagaan. Raja tidak boleh di politik. Raja tidak boleh di tafsir dengan politik.
Raja menjadi penaung kepada negara kita, kita terima hakikat ini. Akan tetapi pemimpin kerajaan mestilah menjadi penasihat-penasihat yang baik kepada Raja sebagai mana yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w.: “Sekiranya Allah hendak jadikan seseorang Raja itu baik, maka Allah jadikan Menterimenteri di kelilingnya Menteri yang baik.
Kalau Raja itu lupa, dia ingatkan, kalau Raja itu ingat dia tolong. Kalau Tuhan hendak jadikan buruk bagi Raja itu, kalau Raja itu lupa dia buat tidak tahu lagi senang dia buat apa pun. Kalau Raja itu ingat, dia tidak tolong Raja yang mana konsep ini tidak diamalkan dengan cara yang sebaikbaiknya.
Sekiranya kita menghayati konsep Raja Perlembagaan sebagaimana yang diajar oleh Islam ini, saya yakin dan percaya kita dapat memulihkan imej negara kita.
Negara Berkebajikan
Kita perkenalkan Negara Kebajikan, kita selaraskan dalam Pakatan Rakyat. Negara berkebajikan ini bukan bermakna negara kebajikan (welfare state) yang diamalkan di Barat. Konsep negara berkebajikan ini diambil kira keimanannya, perhitungan dosa pahalanya, benarnya, ikhlasnya bukan wang dan duit sahaja yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w.
Ada orang kata kita sudah hendak tinggalkan negara Islam. Kita kena sebut bahawa al-Quran tidak menyebut negara Islam, ia tidak sebut sembahyang ini Islam, tidak sebut puasa Islam, tidak sebut haji Islam, ia sebut sembahyang sahaja. Maka adalah sembahyang Zuhur, Asar dan sebagainya, sembahyang sunat, sembahyang wajib. Disebut negara yang pentingnya melaksanakan sifat, konsep dan dasar Islam dan negara itu di antaranya ialah berkebajikan.
Di antaranya ialah adil. Bukan maknanya kita tinggalkan Islam yang kita perjuangkan. PAS tidak berganjak dalam perkara ini, PAS tidak undur walau seinci pun dalam perkara ini.
Kita yakin dan percaya sekiranya kita diberi peluang oleh rakyat, kita dapat melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya.
Sedutan ucapan Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang membahas Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada 14 Mac 2012.


View the original article here


This post was made using the Auto Blogging Software from WebMagnates.org This line will not appear when posts are made after activating the software to full version.

No comments: