Tuesday, March 27, 2012

Umno pembela tauke dan kroni!


SAYA bersama dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat ingin memulakan dengan mengatakan junjung kasih atas Titah Diraja Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Ucap setinggi-tinggi tahniah ke atas keberangkatan Tuanku ke Parlimen dan ini bagi kali kedua. Seperti mana sempat saya sampaikan semalam terus kepada Tuanku Yang di-Pertuan Agong, kami bangga kerana Tuanku telah mencatat sejarah dalam negara kita dengan menjadi Yang di- Pertuan Agong kali yang kedua.


Kami juga dari Pakatan Rakyat ingin merakamkan setinggitinggi junjung kasih kepada Tuanku Sultan Terengganu yang telah bersemayam selama 25 tahun dan menjadi tunggak kebanggaan negara Malaysia. Kita juga meneliti Titah Diraja yang telah dipersembahkan oleh Perdana Menteri, berucap bagi pihak kerajaan Malaysia seperti biasanya mengikut tradisi di Parlimen.
Maka, oleh yang demikian selain daripada menjunjung kasih, ada beberapa teguran yang harus dilakukan kepada kerajaan bersabit dengan apa yang disampaikan. Akan tetapi izinkan saya di peringkat awal ini untuk merujuk kepada beberapa teguran yang telah kita lakukan sebelumnya yang nampaknya tidak mendapat apa-apa tindakan.
Pakatan Rakyat bela nasib petani
Kita ambil nasib petani, penanam padi miskin terutama di kalangan Melayu dan bumiputera. Inilah sahaja kempen besar Umno -BN, kita dengar ucapan-ucapan tadi terutama dari Yang Berhormat Jempol. Seolah-olah mereka ini menjadi pejuang, pembela nasib Melayu miskin. Saya tidak pertikai kalau mereka menjadi nasib Melayu kaya dan tauketauke dan kroni dan keluarga.
Akan tetapi untuk Melayu miskin saya akan memberikan bukti dan hujah.
Pertama, BERNAS. Perjanjian konsesi dipertimbangkan untuk diberi sepuluh tahun lagi. BERNAS, ‘Tradewind’ ya, yang dikuasai oleh Tan Sri Syed Mokhtar. Akan tetapi mesti ingat dan saya masih ingat Tuan Yang Dipertua, bahawa bila penswastaan diberikan, Kementerian Kewangan pada ketika itu meletakkan syarat jangan dibolot oleh sektor swasta, tauke-tauke yang kaya-raya dari hasil titik peluh, derita petani miskin. Maka, kita letakkan syarat pertama, harus ada saham yang dipegang oleh MADA 10 peratus; KADA 5 peratus; NAFAS -pertubuhan peladang; NEKMAT - pertubuhan nelayan yang memegangnya.
Apa yang berlaku ialah kepentingan nelayan, petani, dibeli oleh korporat-korporat besar termasuk bekas Menteri Kewangan dengan untung RM37 juta. Ini sepatutnya dipegang dan dimiliki oleh petani dan pesawah. Ini sebagai contoh bagaimana putaran penyalahgunaan kuasa, tekanan yang diberikan kepada mereka.
Jadi, yang saya tekankan di sini sejak teguran kita tentang nasib petani terutamanya pesawah padi dilakukan bertahun-tahun sehingga kini tidak ada apa-apa sebarang tindakan.
Petani, pesawah padi pun ada, ambillah tahu sedikit latar belakang dia, mengapa kita melibatkan MADA, KADA, NAFAS, NEKMAT kalau tidak ada kena mengena dengan pesawah padi, ada itu yang pertama.
Keduanya, beli BERNAS itu bukan hanya total import, ia juga mengendalikan usaha tempatan.
Jadi sebab itu saya kata harus diimbangi keuntungan besar itu supaya manfaatnya sampai janganlah kita ada Ahli-ahli Parlimen ini nampak lebih banyak hendak mempertahankan syarikat-syarikat yang besar daripada kepentingan pesawah.
Skandal projek lebuh raya untuk kroni
Keduanya saya hendak teruskan dengan satu lagi yang saya bangkitkan tahun lalu, yang masih belum ada tindakan dan saya ada dokumennya – Projek Lebuh raya Pantai Timur Fasa 2, Laporan Kemajuan Nombor 83, Disember 2011 oleh Unit Perancangan Pemantauan dan Pelaporan Pasukan Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2, Kuala Terengganu.
Ini saya tekankan kerana kontrak 1A, pakej 1A bernilai RM41.86 juta dianugerahkan kepada Ascent Vest Sdn Bhd, dimansuhkan pada April 2010 setelah membayar RM27.2 juta, ditender semula, dianugerahkan kepada Q-Bena dengan harga RM31.1 juta dengan tambahan dana. Kontrak pertama patut bayar ganti rugi.
Pakej keempat dianugerahkan kepada Kobena Corporation harga RM61 juta, gagal lagi siap dan diberikan kepada syarikat baru, pakej ketiga – yang hendak saya tekankan pakej keempat ini tadi ialah setelah gagal syarikat ini diberi pula kepada anak syarikat yang sama, anak syarikat kepada syarikat induk yang sama.
Jadi maknanya ada suatu pakatan kerjasama sepatutnya, yang saya tahu financial procedures itu jelas, mana-mana syarikat yang gagal maka semua anak syarikat itu dikecualikan daripada mendapat tender semula.
Akan tetapi ini diberikan pengecualian. Pakej kelapan, anugerah kepada Arah Jitu RM80 juta, mansuh November 2009. Kemudian, ditender semula. Berikan pula kepada Arah Jitu, harga RM76 juta.
Ini kontrak apa sebegini? Ia gagal, kita anugerahkan semula. Jadi, kontraktor yang gagal untuk melaksanakan dua pakej; 8B dan 9B, dipilih semula dengan harga yang jauh lebih tinggi. Saya boleh membacakan pakej 9B, sama. pakej 3, pakej 2, dianugerahkan kepada Koperasi - KOBENA yang mana mantan Perdana Menteri menjadi ahli nombor satu dengan harga RM178.7 juta.
Dimansuhkan, ditender semula dan diberikan kepada Ahmad Zaki dengan dana tambahan RM88 juta, pakej 1B. Jadi, yang saya tekankan di sini ialah Tuan Panduan kepada kerajaan dan walaupun laporan telah dikemukakan kepada SPRM, projek terus terbengkalai, projek meningkat tetapi tidak ada tindakan.
Jadi, saya ingin menggesa Yang Berhormat Menteri berkenaan supaya mengambil kira teguran dan membuat pembetulan dan kalau tidak hanya mencatat laporan dan cuba jawab. Walaupun kes ini sebenarnya tidak pernah dijawab di Parlimen walaupun saya sudah bangkitkan sebelum ini.
Pelan ETP hanya sekadar slogan!
Saya hendak sambung dengan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang disebutkan berulangkali. Saya hendak menyebut di sini bahawa yang pertamanya PEMANDU.
Ini sebenarnya projek PEMANDU. PEMANDU menyasarkan untuk mencapai pelaburan berjumlah RM1.4 trilion; RM800 bilion, pelaburan dalam Entry Point Project (EPP) dan RM600 bilion dalam 60 peluang perniagaan yang dikenal pasti dalam Economic Transformation Programme: Roadmap Report.
Apabila diamati daripada RM1.4 trilion, yang disasar hanya RM176 bilion pelaburan yang dicapai atau 12.5 peratus daripada yang disasarkan. Ini angka berdasarkan unjuran PEMANDU, 12.5 peratus sahaja yang dicapai. Untuk mencapai sasaran pelaburan RM1.4 trilion menjelang tempoh ETP tamat, PEMANDU perlu menjana pelaburan RM153 bilion setahun.
Saya membangkitkan perkara ini kerana hendak menunjukkan bahawa menyerahkan kepada PEMANDU dengan unjuran yang amat tidak realistik, sama seperti apa yang kita dengar penjelasan daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pagi tadi tentang SBPA.
Serahkan kepada konsultan, berikan unjuran, berikan keterangan, kemudian apabila diteliti nampak sangat bukan sahaja tidak munasabah, tidak realistik malah membebankan dan tidak melayani tuntutan bukan sahaja CUEPACS tetapi pegawai-pegawai kerajaan umumnya.
Oleh sebab itu, saya mahu hal ini diteliti umpamanya kalau kita teliti RM176 bilion yang disebutkan, 55 peratus tertumpu hanya pada dua projek iaitu MRT dan Petronas Rapid yang mana 53 peratus tertumpu pada satu NKEA iaitu petroleum, gas dan tenaga.
Jika berdasarkan roadmap NKEA ini, projek penjanaan kuasa nuklear: EPP11, dianggarkan menyumbang RM21.3 bilion. Petronas, RM18.4 bilion.
Maknanya kalau terlaksana nanti, maka ETP tertumpu hampir keseluruhannya pada sektor petroleum, gas dan tenaga.
Dalam sektor bukan petroleum, hanya tiga buah projek iaitu MRT, Projek Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) dan Karambunai Integrated Resort yang menyumbang ikut unjurannya.
PEMANDU ini ia memang khayalannya tinggi sekali.
Ia menyumbang RM52 bilion termasuk Projek Transformasi Kedai Runcit, boleh sama-sama puluh-puluh bilion. 2/3 daripada EPP bukan petroleum. NKEA Greater Kuala Lumpur atau Klang Valley menyumbang RM40 bilion.
Setengah daripada NKEA, bukan petroleum, gas dan tenaga.
Kelapa sawit, pertanian tentulah tercorot ke bawah. Perkhidmatan perniagaan dan kewangan yang amat penting untuk menjana pekerjaan berpendapatan tinggi tidak ada perkembangan langsung walaupun PEMANDU menganggarkan ia akan menyumbang RM121 bilion.
Saya tidak mempertikaikan beberapa kejayaan yang diumumkan. Saya persoalkan kewajaran kita berpandu pada satu unjuran yang tidak munasabah dan terlalu lari dan menyimpang daripada sasaran. Ini yang saya tekankan.
Contoh, yang saya anggap tidak munasabah, Unified Malaysia Sales, EPP11 di bawah NKEA kedai runcit.
EPP hanya bunyi sahaja yang memukau
Mengikut roadmap EPP dijangka menjana pelaburan RM4.7 bilion. Bunyi itu, memukau, kalau istilah-istilah.
Jadi, orang baca, bunyinya tetapi apabila pelaksanaan itu tidak dan kalau diteliti benar-benar, saya tidak fikir Kabinet harus meluluskan, seperti mana SBPA. Beban rakyat, beban pekerja, tidak adil tetapi lulus juga. Apabila riuh, baru tahan. Sekarang ini, apabila kita bangkitkan, tidak dengar tetapi apabila setelah setahun atau dua tahun, ternyata ia tidak dapat catat 10 peratus atau 5 peratus daripada sasaran.
Contoh kedua, untuk menarik 100 buah syarikat yang paling dinamik di dunia, di bawah NKEA, Greater Kuala Lumpur, Klang Valley dan EPP Invest KL memerlukan pembiayaan RM82.2 bilion.
Maknanya untuk sebuah syarikat, kita hendak menarik 100 buah syarikat, kalau kira maknanya sebuah syarikat harus melabur sebanyak RM820 bilion.
Akan tetapi salah satu syarikat yang masuk Schlumberger mengumumkan pelaburan hanya RM268 juta.
Contoh ketiga, pelaburan RM10 bilion untuk projek Karambunai Intergrated Resort memerlukan 2.8 juta pelancong melawat setahun untuk balik modal. Seramai 2.8 juta untuk satu resort. Ini melebihi jumlah ketibaan penumpang sepanjang tahun di Lapangan Terbang Kota Kinabalu.
Jadi sebab itu kita minta supaya beberapa projek ini bukan sahaja perlu penelitian tetapi bergantung kepada usul PEMANDU dengan jumlah konsultan mengetepikan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang telah menunjukkan keupayaan mereka selama ini tidak akan membantu kerana kefahaman mereka tentang tahap keupayaan kita tidak sama.
Kroni terus diutamakan
Oleh sebab itu saya syorkan seperti mana saya sebutkan tadi, seharusnya mengambil kira input dari kerajaan dan perkhidmatan awam sendiri dalam perencanaan ekonomi sedemikian rupa.
Soalan yang sangat relevan ialah projek-projek mega yang dilaksanakan setakat ini: MRT; lebuh raya; Petronas – MRT 1, 2 dan 3 menelan belanja RM45 bilion melalui penerbitan bon oleh MRT Corp yang dijamin oleh kerajaan.
Siapa yang peroleh manfaatnya? Syarikat mana? Apakah ada tender yang melibatkan lebih ramai dan juga konsep yang boleh memberikan pengagihan yang adil?
Lebuhraya Kinrara- Damansara (KIDEX), harga RM2.2 bilion. Itu terus kepada keluarga bekas Ketua Hakim Negara. Projek RAPID Petronas melibatkan kebanyakannya Kenchana Petroleum, keluarga anak bekas Perdana Menteri.
Jadi sebab itu penyertaan sektor swasta dianggap perlu, tetapi sektor swasta ini termasuk Bumiputera tidak haruslah dihadkan kepada beberapa keluarga tertentu.
Itu dalam isu Program Transformasi Ekonomi yang ternyata ada beberapa kelemahan terutama dari sudut perencanaannya. Saya tahu dalam ucapan-ucapan Ahliahli Yang Berhormat semuanya puji tetapi saya minta juga teliti tentang unjuran PEMANDU itu betapa realistik atau tidak. Saya kira bagi Kerajaan Malaysia, sepatutnya rujuk juga kepada Unit Perancangan Ekonomi, Perbendaharaan, Bank Negara.
Pada tradisinya begitu dan saya fikir ada keupayaan mereka untuk memberikan unjuran walaupun lari sedikit tetapi lebih realistik. Tidak semuanya tepat dahulu pun, saya akui, tetapi tidaklah lari sampai ratus bilion seperti mana yang diunjurkan oleh konsultan-konsultan terpilih dibayar puluhan juta dan memberikan gambaran yang sedemikian rupa.
Politik Machiavelli
Saya ingin juga sentuh tentang apa yang disebut oleh Yang Berhormat tentang membahaskan ini kononnya Pakatan Rakyat ini semuanya kata dialah politik Machiavelli.
Politik Machiavelli. Supaya dibetulkan, mungkin baku.
Machiavelli ini saya harap kalau dapat dibaca ‘The Prince’, itu politik yang mengetepikan pertimbangan benar atau palsu (right or wrong) tetapi bagaimana ‘prince’, sang penguasa, akan pertahankan kuasa dengan sebarang usaha tipu helah.
Dia menuju kepada penguasa yang ada. Ini satu peringatan yang baik. Akan tetapi hendak menunjukkan bagaimana politik Machiavelli itu diamalkan oleh BN ialah cara mereka menggunakan media saban hari memfitnah. Saya bagi contoh beberapa kes. Ya lah memanglah media utama TV3, Utusan Malaysia, memanglah Anwar Ibrahim, kalau tidak ada cerita, maka tidak sah. Saya tidak ada masalah bab itu.
Akan tetapi bayangkan, negara kononnya transformasi sistem politik, beri kebebasan media, bagi orang hormat dengar tetapi serang tiap malam, hendak jawab satu minit tidak mungkin. Ajak debat terbuka tidak berlaku.
Saya fikir harus Perdana Menteri timbangkan untuk meneruskan debat mengenai isu ekonomi di antara Ketua Pembangkang dan Perdana Menteri.
Jangan remehkan rakyat, jauhkan budaya fitnah!
Ini biar rakyat menilai dengan baik. Saya tidak fikir rakyat harus diremehkan keupayaan mereka untuk menilai.
Kita pun ada pengalaman, baru ini Presiden MCA, Dato’ Seri Dr Chua Soi Lek dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berdebat. Sebelum ini saya dengan pada ketika itu Menteri Penerangan mengenai soal minyak dan gas. Kemudian Yang Berhormat Rembau dengan Saudara Rafizi Ramli.
Maknanya boleh dan saya juga menonton dan tidak nampak suatu hal yang agak terlalu terlanjur atau biadab, baik oleh Rafizi atau Yang Berhormat Rembau. Mereka menjaga decorum dalam perbahasan dan kalau anak-anak muda begini boleh lakukan, mengapa Perdana Menteri enggan untuk menerima usul saya untuk meneruskan debat mengenai ekonomi? Saya sebut perkara ini kerana terlalu banyak fitnah ini.
Ya, kita dalam politik Tuan Yang Dipertua, ada persaingannya dan kalau kita hendak elak politik [Bercakap dalam bahasa Arab] matlamat itu jangan menghalalkan cara, maka jangan kita terima fitnah sebagai suatu budaya. Kita boleh tegur, kita boleh serang, kita boleh letakkan hujah berdasarkan fakta.
Kalau mereka tidak setuju dengan saya tentang bagaimana BERNAS menindas pesawah padi, boleh jawab. Ataupun salah saya tentang mengambil nota daripada Jawatankuasa Laporan Kemajuan Unit Perancangan Pemantauan Pelaporan Kuala Terengganu, saya boleh ditegur.
Ataupun angka-angka yang saya sebut dalam NKRA, boleh disebut, saya tidak ada masalah itu. Akan tetapi tidak perlu kita gunakan media yang ada dikuasai oleh Menteri Penerangan yang bercakap soal budi pekerti dan akhlak mulia tetapi membolehkan fitnah melalui media yang dikuasai oleh mereka.
Saya bagi beberapa contoh. Dalam temu bual saya dengan BBC mengenai apakah saya seandainya, insya-Allah apabila berkuasa akan membatalkan semua undang-undang tentang homoseksualiti, saya jawab dan saya quote, “As Muslim and majority of non Muslim in Malaysia, we believe in the institution and sanctity of marriage between men and women”.
Saya tambah lagi, “I make no apologies” sebab kita terima keyakinan agama kita, hukum kita. Akan tetapi apa yang disebarkan di luar? Disebarkan kenyataan yang kedua, dipadamkan yang pertama.
Seolah-olah kita kalau berkuasa, kita akan halalkan hubungan sejenis. Dan ini disiarkan dan ditayangkan setiap malam sebagai satu fakta.
Fitnah itu menjadi budaya, hendak menang dengan fitnah.
Sudah Tuan Yang Dipertua, yang dikaitkan ialah soalan kedua. Will you ban or you will repel that act? Saya jawab ya.
Kalau 377B itu yang ada ini, apa kena mengena dengan Islam? You boleh hukum orang tanpa saksi, you boleh hukum orang dengan tanpa laporan doktor sekalipun dalam krisis pertama walaupun dilepaskan kemudian.
Laporan doktor tidak ada, boleh hukum. Jadi oleh yang demikian, saya kata, ‘That law, that specific law is alcaic’. Apa yang diputarkan oleh media dan saya hairan ada teman-teman saya dari Umno yang saya kenal lama yang boleh hanya merestui kerana saya di pihak lain. Tidak semestinya. Saudara boleh menghalalkan fitnah sematamata kerana saya di pihak yang lain.
(Sedutan ucapan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh di Dewan Rakyat ketika membahaskan Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong pada 13 Mac 2012.)


View the original article here


This post was made using the Auto Blogging Software from WebMagnates.org This line will not appear when posts are made after activating the software to full version.

No comments: