Wednesday, September 15, 2010

Sekolah Khas Untuk Pelajar Hamil Dibuka

MELAKA, 15 Sept — Sekolah khas untuk pelajar hamil yang dibiayai oleh kerajaan negeri di Jasin akan dibuka bermula Jumaat ini untuk menempatkan mereka yang secara sukarela mahu ke situ. Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata sekolah itu yang dikenali sebagai ‘‘sekolah harapan’’, berada di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di bekas pejabat Syarikat Air Melaka (SAM).
Buat permulaan, katanya, sekolah itu yang turut menyediakan kemudahan tempat tinggal, akan dikendalikan oleh seorang penyelia dan tiga pengajar lain.
“Kita telah lantik guru JAIM yang berpengalaman bagi mengajar di sekolah itu yang boleh memuatkan maksimum 40 pelajar,” katanya kepada pemberita di kediamannya, Seri Bendahara, di sini hari ini. Mohd Ali berkata setakat ini, belum ada pelajar hamil yang menghubungi JAIM untuk memasuki sekolah itu dan bagi yang berminat boleh memohon dengan identiti mereka dirahsiakan.

“Kita berniat baik dengan menubuhkan sekolah ini bagi menbolehkan remaja yang terlanjur meneruskan persekolahan sehingga mereka bersalin dan tamat edah sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya.
Beliau berkata sukatan mata pelajaran yang diajar bergantung kepada tahap semasa persekolahan pelajar itu. — Bernama

Monday, September 13, 2010

4 Mengaku Bunuh Jutawan, Datuk Sosilawati

BANTING - Empat pekerja ladang buah-buahan dan ternakan milik seorang peguam bergelar Datuk mengaku terlibat membunuh dan membakar Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga lelaki bersama jutawan kosmetik itu di Ladang Gadong, Tanjung Sepat di sini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, berdasarkan pengakuan empat daripada lapan lelaki yang ditahan reman itu, polis kemudian berjaya menemui lokasi empat mangsa yang dipercayai ditahan, dibunuh dan dibakar di ladang ternakan tersebut.


"Kesemua lelaki terbabit mengaku membawa mangsa ke ladang seluas empat hektar itu sebelum dipukul sehingga mati dan mayat mereka kemudian dibakar.
"Abu mayat mangsa kemudian dibuang ke sebatang sungai berhampiran sebuah ladang ternakan di situ," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat dekat sini semalam.

UMNO Seolah-olah Menjerut Leher Sendiri

SHAH ALAM - Tindakan UMNO menolak sebarang kerjasama dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) seolah-olah cuba menjerut leher sendiri memandangkan Perkasa mempunyai pengikut tersendiri dan anggotanya terdiri daripada ahli UMNO.
Penganalisis Politik, Dr Sivamurugan Pandian berkata, UMNO sepatutnya menjalinkan kerjasama dengan Perkasa melalui beberapa perkara yang matlamatnya sama dan keputusan menolak kerjasama disuarakan oleh pemimpin UMNO itu dijangka akan merugikan parti.

“Apa yang harus dilakukan oleh UMNO ialah bergandingan dengan Perkasa dalam beberapa perkara kerana Perkasa perlu mempertahankan apa yang telah termaktub dalam perlembagaan, manakala UMNO pula bertindak memainkan peranan tersebut.

“Masalah yang timbul kini ialah pendekatan Perkasa dilihat terlalu radikal. Tetapi, ia bukan sesuatu yang luar biasa kerana terdapat Badan Bukan Kerajaan (NGO) bukan Melayu yang mempunyai matlamat sama seperti dilakukan oleh Perkasa,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, Perkasa mempunyai penyokong tersendiri yang boleh dimanfaatkan atau membawa manfaat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Jangan menolak peranan Perkasa kerana Perkasa telah membantu UMNO dan BN selama ini. Malah, sumbangan mereka perlu diberikan pengiktirafan yang sewajarnya.

“Dalam UMNO sendiri terdapat kelompok yang menyokong dan tidak menyokong kerjasama itu. Kalau kita perhatikan apa yang cuba Perkasa suarakan ialah peranan yang sepatutnya dimainkan oleh beberapa pemimpin dalam UMNO untuk menunjukkan kesederhanaan berpolitik,” katanya.

Beliau berkata, pertembungan antara UMNO dan Perkasa memungkinkan pemimpin-pemimpin dalam UMNO bangkit untuk mempertahankan beberapa perkara yang perlu dipertahankan selaras dengan perlembagaan.

“Mungkin pemimpin-pemimpin itu perlu mempunyai kewibawaan untuk memainkan dua peranan iaitu selaku pemimpin dalam parti yang mempertahankan hak orang Melayu dan pemimpin peringkat kebangsaan yang mempertahankan kebajikan seluruh masyarakat.

“Maka, jika peranan ini berjaya dimainkan oleh pemimpin UMNO, tidak akan timbul persoalan sama ada UMNO perlu bersama Perkasa atau tidak,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor ketika ditemu bual oleh sebuah portal berita menyuarakan keengganan bekerjasama dengan Perkasa dan mendakwa pertubuhan itu telah menghakis sokongan pengundi terhadap UMNO.

sumber: Sinar Harian

Monday, September 6, 2010

Teo Nie Ching Dapat Gelaran 'YB Surau'

Pada 22 Ogos 2010, semasa menyampaikan sumbangan RM1000.00 kepada JK Surau Al-Huda Kajang, beliau telah dijemput menyampaikan ucapan ringkas tentang bantuan yang boleh dipohon dari kerajaan negeri Selangor .Akhbar Utusan Malaysia dan TV3 mentafsir ucapan itu sebagai 'tazkirah' dan mengkritik perbuatannya tidak menutup kepala.

Sehubungan itu, YB Teo Nie Ching memohon maaf kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, Sultan Selangor. Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa melaporkan Sultan Selangor murka dengan kejadian itu.

Selepas daripada kejadian itu iaitu pada 30 Ogos 2010, YB Teo dijemput ke surau Al-Muhajirin, Bukit Mahkota, di mana beliau juga menyumbangkan RM500 kepada RELA. Bagaimanapun kali ini, beliau tidak memasuki ruang solat tetapi memakai selendang.

Majlis tersebut berlangsung di bawah sebuah khemah dalam kawasan surau.Dalam satu kenyataan hari ini, Teo berkata kunjungannya itu adalah berasaskan kepada prinsip berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama mereka.

Menurut Teo, beliau diberi sambutan yang baik sepertimana ketika beliau mengunjungi surau Al-Huda di Kajang, yang telah mencetuskan kontroversi.

Madrasah Cheras Perdana antara yang mengundang beliau bertemu dengan umat Islam meskipun tercetusnya isu kunjungan ke Surau Al-Huda.

Permintaan Madrasah Cheras Perdana dan kesungguhan pengurusan Surau At-Tholabiah menandakan Teo yang sudah mula dikenali sebagai “YB Surau” menandakan terus menerusi semangat dan sokongan di sebalik debat mengenai isu ini berterusa.

Dengan berpakaian baju kurung berwarna kuning dengan selendang, yang dihadiahkan oleh salah seorang peminatnya baru-baru ini, Teo berkata: “Apa yang berlaku sekarang ini adalah satu ujian.”

Beliau telah menerima enam selendang setakat ini, termasuk selendang dari Mesir yang dihadiahkan oleh “Datuk Zin”. “Kalau ada jemputan saya akan datang, menjadi tugas saya untuk datang.... saya melakukan ini bukan sahaja ketika Ramadan, tetapi sepanjang tahun... saya pergi bertemu dengan semua orang tidak kira agama dan kaum,” katanya.

Kehadiran di Surau At-Tholabiah adalah persinggahan beliau yang terakhir pada bulan Ramadan. Awal pagi ini beliau bertolak di Sarawak sebagai sebahagian daripada persediaan DAP menghadapi pilihan raya umum negeri itu.

Ahli Parlimen penggal pertama berusia 29 tahun itu tiba-tiba menjadi ‘popular’ ekoran kontroversi yang dibangkitkan oleh Umno dan Perkasa dua minggu lalu.

Dalam ucapannya Penasihat Surau At-Tholabiah Mohd Yusof A. Kadir berkata, “walaupun berhadapan dengan isu kontroversi, kami berharap beliau (Teo) akan terus bersemangat untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat.”

“Kami berharap semangat YB tidak jatuh, tetapi pada masa yang sama kita akan ikut arahan orang atasan,” kata beliau mengalu-alukan kedatang Teo yang menyampaikan sumbangan pada majlis ringkas yang diadakan di ruang luar.

“Ini duit rakyat,” kata Teo ketika menyerahkan sumbangan kepada Pengerusi surau Abdul Rahman Mohd Tahir seolah-olah mahu menangkis kritikan sesetengah pihak yang mempertikaikan wakil rakyat bukan Islam menyampaikan sumbangan dan derma di kawasan masjid dan surau.

Ketika ditemui The Malaysian Insider dalam satu pertemuan kira-kira 10 jam sebelum itu, Teo berkata, kunjungan beliau ke masjid atau surau sama sekali tidak harus dilihat sebagai tindakan menghina agama Islam.

“Mengapa saya perlu memberi sumbangan untuk menghina agama lain, tidak... tidak,” kata beliau ketika ditemu bual di ibu pejabat DAP di Petaling Jaya tengah hari semalam.

“Kalau saya nak menghina, adakah saya hendak memberi sumbangan, saya rasa kenyataan itu (dakwaan menghina) itu tidak masuk akal, tidak betul,” kata wakil rakyat kelulusan undang-undang ini.

Teo mengulangi bahawa Umno dan Perkasa sengaja memperbesarkan isu ini dan menolak bahawa beliau menggunakan kunjungan ke masjid atau surau untuk kepentingan politik.

“Saya juga terkejut. Saya tidak panggil wartawan ke program saya. Ini lawatan biasa,” kata beliau sambil menambah, “saya pergi ke sana dengan niat yang suci dan ikhlas iaitu untuk memberikan sumbangan.”

“Umno memang ada cakap saya telah memperalatkan surau untuk meraih publisiti untuk diri sendiri.

“Tetapi saya tidak berniat untuk buat demikian lagipun pada hari itu juga saya tidak jemput wartawan untuk datang.... kalau saya pergi saya dan bawa wartawan mungkin boleh tuduh saya gunakan surau untuk jadikan saya lebih popular,” katanya.

Selepas isu ini diperbesarkan, Teo mengakui sudah melawat beberapa surau lagi.

“Ini adalah tugas saya jadi saya perlu jalankan tanggungjawab seperti biasa,” katanya lagi.

Sebenarnya kata Teo, kebanyakan program telah disusun sejak sebelum Ramadan lagi dan ada juga jemputan yang baru selepas isu ini tercetus.

“Macam malam ini baru terima jemputan dua hari lalu, mereka tidak takut kerana faham.

“Selain masjid dan surau saya juga ada pergi ke bazar untuk beri buah kurma.

“Respons syang saya terima sampai hari ini agak menggalakkan... ada orang cakap ia bukan satu isu, ada juga yang cakap mereka itu (pengkritik) cemburu,” kata Teo sambil menambah, beliau akan melakukan apa yang sepatutnya perlu dijalankan selaku seorang wakil rakyat.

Menjawab soalan bagaimana beliau menghadapi isu semasa ini, Teo juga berkongsi bahawa pada hari pertama dan kedua beliau memang tertekan dan ada menangis.

Teo berkata, beliau menitiskan air mata semasa dalam perjalanan ke rumah dan ketika berada di rumah sehari selepas Majlis Agama Islam Selangor mengeluarkan kenyataan bahawa Sultan Selangor murka dan akan mengeluarkan surat amaran.

Malah kenyataan itu menjadi tajuk muka depan media pada Sabtu lalu.

“Hari Sabtu, saya rasa begitu susah,” katanya.

“Memang saya rasa tertekan kerana saya ingat ia salah saya,” kata beliau tetapi mengaku tidak menjejaskan kerjaya politiknya.

Bagaimanapun kata Teo, beliau seolah-olah merasakan telah membuat satu kesilapan yang boleh menjejaskan reputasi parti dan juga ahli jawatankuasa Surau Al-Huda.

“Memang rasa begitu, tidak senang dan sedih kerana ahli jawatankuasa telah digantung kerana tindakan saya.

“Pada saya, jika pada malam itu mereka tidak menjemput saya masuk ke ruang solat, ia tidak akan jadi satu isu yang begitu besar.

“Walaupun mereka jemput saya dengan niat baik dan ikhlas, layan saya dengan baik dan akhirnya apa yang saya bawa kepada mereka adalah masalah.

“(Oleh itu) saya menangis sendiri bukan depan orang,” katanya.

Teo juga berkongsi bahawa beliau menerima banyak panggilan daripada pemimpin parti dan mereka sebenarnya tidak marah.

“Semua orang hanya simpati dan faham bahawa pada hari pertama dan kedua saya berada dalam satu kedudukan yang sangat sukar.

“Mereka hubungi dan memberi nasihat kepada saya... apabila (Lim) Kit Siang dan Lim Guang Eng hubungi saya, bila mereka hubungi mereka cakap jangan risau, saya rasa ini satu sokongan moral daripada mereka,” katanya lagi.

Teo, antara calon pilihan raya umum 2008 yang menggunakan pendekatan kreatif untuk mendekati pengundi memberitahu beliau tidak sama sekali terfikir untuk meletakkan jawatan kerana isu ini, tetapi rasa takut dan risau kerana “saya tidak mahu membawa masalah kepada parti.”

“Saya rasa begitu ketika itu kerana pada saat itu kita belum terima begitu banyak nasihat, sokongan dan panduan daripada PKR dan PAS lagi.

“Tok guru (Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) juga ketika itu masih belum keluarkan apa-apa kenyataan pada masa itu,” katanya lagi.

Teo, penolong setiausaha publisiti kebangsaan DAP berkata, beliau sememangnya bimbang sama ada telah buat satu kesilapan yang akan mengakibatkan orang Melayu menganggap DAP sebuah parti anti-Melayu dan anti-Islam.

“Ini kerana saya rasa telah mencuba dengan begitu bersungguh untuk meyakinkan masyarakat Melayu bahawa DAP bukan sebuah parti ‘Chinese, Chauvinist dan Communist (CCC)’ sebagaimana didakwa oleh musuh kami,” kata beliau dengan merujuk kepada usaha DAP yang cuba meyakinkan orang ramai bahawa ia adalah sebuah parti yang berkhidmat untuk semua kaum.

“DAP adalah sebuah parti untuk semua rakyat Malaysia... memang saya takut bahawa usaha-usaha yang kita lakukan selama ini akan terjejas oleh sebab saya telah lakukan kesilapan atau boleh kata kecuaian yang bodoh,” ujar beliau.

Selain menangis, insiden ini juga membawa kepada Teo membeli telefon BlackBerry untuk mengikuti perkembangan semasa dengan lebih dekat.

“Sebelum ini saya tidak guna BlackBerry, lepas insiden tersebut saya beli pada 31 Ogos. Saya perlukan BlackBerry sekarang, pada hari ini saya perlukan BlackBerry untuk dapatkan banyak informasi,” katanya.

Beliau masih melihat ke depan untuk berhadapan dengan cabaran dan tanggungjawab lebih besar sebagai wakil rakyat.

“Selepas melihat komen dan Tok Guru mempertahankan saya dan sudah menjelaskan bahawa dari segi Islam memang tidak salah orang bukan Islam masuk masjid dan surau, dari sana saya telah mendapat kekuatan dan selepas insiden itu, ramai orang telah keluarkan kenyataan mempertahankan saya termasuk (Naib Presiden PAS) Datuk Mahfuz Omar, Dewan Muslimat pusat dan Selangor juga ada datang jumpa saya untuk beri semangat - satu jumpa di Kajang dan satu jumpa di Balakong.

“Saya rasa selepas hari Sabtu, komen daripada masyarakat agak positif.

“Ada orang yang kata saya tidak buat apa-apa kesalahan dan kata tiada masalah orang bukan Islam masuk masjid dan surau.

“Ada juga fikir bahawa tidak pakai tudung itu adalah tidak sopan kerana saya sepatutnya pakai tudung,” katanya yang mengaku telah meningkatkan pemahaman tentang Islam berbanding Mac 2008.

“Lepas kejadian itu, masyarakat sekarang lebih kenali saya. Saya mengaku walaupun telah jadi wakil rakyat lebih daripada dua tahun tapi masih ramai yang belum kenal siapa saya.

“Tetapi selepas insiden ini saya pergi ke bazar mereka sudah tahu siapa saya.

“Walaupun tidak dapat sebut nama saya tapi mereka panggil saya “YB surau”, tapi saya rasa mereka peka dengan isu ini dan telah kenal saya,” katanya lagi.

Teo juga merasakan telah menerima banyak simpati daripada masyarakat berkata, beliau sebenarnya merasakan telah menerima sokongan yang begitu banyak.

“Hari-hari, sekarang saya terima selendang dari kawan-kawan Melayu dengan mengatakan bahawa supaya mereka (pengkritik) tidak bising

“Hari ini saya dapat satu lagi emel - ada pihak yang mahu mendermakan RM5,000 kepada saya untuk membuat satu program di kawasan saya,” kata Teo.