Monday, October 27, 2008

10 penyokong Hindraf dibebas

hindrafSeramai 10 penyokong pertubuhan haram Hindu Rights Action Force (Hindraf) yang ditahan kerana dipercayai mengadakan perhimpunan haram di hadapan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada 23 Oktober lalu dibebaskan hari ini dengan jaminan polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu berkata, mereka dibebaskan kira-kira pukul 1.30 petang ini dengan jaminan sehingga 25 November ini.

Polis akan teruskan siasatan mengikut Akta Pertubuhan kerana mereka bertindak sama ada bagi pihak atau membantu pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

"Sekiranya ada pertuduhan, mereka akan dipanggil ke mahkamah pada tarikh yang akan ditetapkan nanti,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Gobind Singh Deo, peguam yang mewakili kumpulan itu tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya kira-kira pukul 11 pagi diiringi enam peguam lain.

Pada 23 Oktober lalu, polis menahan 11 penyokong Hindraf yang berkumpul di hadapan Jabatan Perdana Menteri (JPM), Putrajaya, dekat sini untuk menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Mereka yang ditahan ialah S. Jayathas; M. Rajasegaran; KN. Balakrishnan, P. Taramaraju, P. Sundram, R. Kannan, S. Sivakumar, S. Pobalan, VS. Lourdemary, K. Nagesvary dan P. Waytha Nayagi.

Bagaimanapun, polis telah membebaskan K. Nagesvary dengan jaminan kerana membawa seorang kanak-kanak berusia enam tahun pada pukul 10.30 malam, pada hari kejadian.

Memorandum itu menuntut pembebasan lima pemimpin pertubuhan haram itu yang kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Pada 15 Oktober lalu, kerajaan mengisytiharkan Hindraf sebagai sebuah pertubuhan haram.

Utusan Online.

mymode jana pendapatan anda

No comments: