Sunday, September 14, 2008

Rahsia Dalam Mencari Harta Kekayaan

usaha mencari harta kekayaan
Dalam usaha mencari harta kekayaan, agama tidak harus ditinggalkan. Ini kerana Islam sendiri menyatakan bahawa kemiskinan adalah hampir kepada kekufuran. Sebenarnya agama dan usaha adalah seiring dan tidak wajar dipisahkan.

Kita jangan berfikir kemiskinan adalah jalan mudah untuk ke syurga dan bersikap untuk memusuhi kekayaan. Sikap ala kadar akan menjadikan kita terus miskin padahal maksud “ala qadrin” (ala kadar) adalah berusaha selagi termampu. Miskin bukanlah satu kesalahan, tapi ia satu fenomena yang boleh diubah dengan mengubah cara kita berfikir. Tetapi kurang berusaha itu adalah satu kesalahan yang jelas menunjukkan kemalasan kita.

“Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah s.w.t. daripada mukmin yang lemah, sekalipun masing-masing ada kebaikan. Berkeinginan keraslah kepada sesuatu yang memberi manfaat. Mohonlah pertolongan kepada Allah dan jangalah kamu lemah“…Hadis Riwayat Muslim.

Sebenarnya rukun Islam iaitu syahadah, solat, puasa, zakat dan haji adalah rukun-rukun yang dijayakan dengan adanya harta. Syahadah memerlukan ilmu dan ilmu memerlukan harta. Solat memerlukan pakaian dan pakaian memerlukan harta. Puasa memerlukan zakat fitrah dan zakat fitrah memerlukan harta. Zakat memerlukan harta secara langsung. Haji memerlukan tambang, kelengkapan dan kemudahan, semua ini memerlukan harta. Ibadah khusus semuanya memerlukan harta. Lebih banyak harta kita lebih mudahlah untuk kita menunaikan kewajipan yang diamanahkan kepada kita.

Nasihat Lukmanul Hakim

Pada suatu hari Lukmanul Hakim telah ditanya oleh anaknya : “Wahai bapaku, apakah sebaik-baik perangai bagi manusia..?” Jawab Lukman : “Agama”. Kalau perangai itu dua..?” Jawab Lukman : “Agama da harta”. Lalu ditanya lagi…”kalau tiga..?”. Jawan Lukman : “Agama, harta dan malu”. Si anak bertanya lagi…”Kalau empat..?”. Jawap Lukman : “Agama, harta, malu dan budi pekerti yang baik”. Tanya anaknya lagi..”Kalau lima..?”. Jawab Lukman : “Agama, harta, malu, budi pekerti yang baik dan pemurah”. Anaknya bertanya lagi..”Bagaimana jika perangai itu enam..?”. Maka jawab Lukman : “Wahai anak kesayanganku, kalau lima perangai itu terkumpul pada seseorang, maka dia adalah orang yang suci, terpelihara (taqwa), dilindungi Allah dan bebas dari syaitan”.

Kemalasan vs Usaha

Islam tidak mengiktiraf kemalasan. Sikap malas untuk berusaha mencari satu kejayaan dan kebahagian sebenarnya bukan sahaja memberi kesan buruk kepada diri sendiri tetapi juga akan memberikan kesan buruk kepada keluarga dan akhirnya kepada bangsa dan agama secara keseluruhannya.

Kekuatan diri dan umat bergantung kuat kepada penerapan nilai-nilai murni, kebijaksanaan dan adanya usaha gigih yang berterusan mencari harta kekayaan. Ini kerana tanpa kebijaksanaan dan tanpa harta sesuatu umat mudah tunduk, dipegaruhi dan meminta-minta kepada mereka yang lebih maju dan kaya raya.

Usaha yang berterusan akan mejadikan kita lebih mudah mencapai kejayaan. Kejayaan ini perlu terus di kekalkan dan diperbaiki supaya kita tidak mudah alpa dalam kehidupan yang semakin mencabar ini.

Tidak kira apa bidang yang anda ceburi sama ada perniagaan internet, berniaga, guru, kerja swasta dan sebagainya, yang penting keikhlasan kita kepada perkerjaan itu. Ini juga salah satu faktor yang boleh membawa kita kepada kejayaan.

Oleh itu, fikir-fikirkanlah setakat mana usaha anda selama ini. Apakah sudah mencapai matlamatnya atau masih di tahap yang sama. Carilah rahsia di dalam usaha anda selama ini.

Salam perjuangan

Wassalam.

1 comment:

S.YanaZ said...

Salam.
Lama tak dengaq org sebut 'cabai burung'...

:]]